Bacakanlah buku pada anak
Perkembangan
intelektual kanak-kanak merujuk kepada proses keupayaan pembelajaran
yang diperolehinya semasa dia membesar. Sesetengah ibu bapa mungkin
tertanya mengapa anak-anak rakan mereka lebih bijak daripada anak mereka
walaupun menghadiri tadika yang sama.
Atau pun mengapa kanak-kanak lain yang berumur setahun telah mula bercakap sedangkan anak mereka tidak. Anda harus ingat bahawa setiap kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza. Namun, jika anda mengesan perkembangan anak anda adalah lebih perlahan, terdapat beberapa ujian yang diguna oleh pakar psikologi untuk menilai perkembangan intelektual (IQ) anak anda.
Ujian-ujian yang lazim digunakan:
- - Stanford-Binet
- - Ujian kecerdasan minda Peabody Picture
- - Ujian kosa kata Bayley Scales of
Kecerdasan diwarisi?
Ramai
beranggapan bahawa otak dan seterusnya, kecerdasan ditentukan oleh
genetik. Namun, kajian baru menunjukkan perkembangan otak kanak-kanak
boleh dipengaruhi oleh persekitaran semasa zaman kanak-kanaknya seperti
pemakanan, perubatan, emosi, dan sokongan intelektual yang optimum. Otak
seseorang kanak-kanak mudah terpengaruh dengan pengalaman yang berbeza
dan seterusnya menyebabkan perkembangan otak dalam cara yang berbeza.
Apabila anak membesar, keupayaannya untuk menguasai bahasa,
menyelesaikan masalah, dan berinteraksi dengan orang lain dipengaruhi
oleh pengalamannya semasa dia masih kecil. Pengalaman yang baik akan
membantu perkembangan otak yang baik, sementara pengabaian dan penderaan
akan menyebabkan kanak-kanak lebih cenderung kepada pelbagai masalah
seperti IQ yang lebih rendah ataupun gangguan emosi.
Ibu
bapa adalah penjaga anak, justeru mereka merupakan individu utama untuk
membantu anak belajar dan berkembang dari segi mental. Rangsangan dan
interaksi merupakan aspek yang paling penting untuk perkembangan otak.
Berikut adalah cara-cara yang boleh menggalakkan anak anda untuk belajar
dan berkembang dengan baik:
1.
Apabila dia mula "bercakap". Anak anda sering memerhatikan gerak-geri
anda kerana dia tertarik kepada pelbagai bunyi yang dihasilkan oleh peti
suara anda. Balas bunyi-bunyian anak anda dan berikan senyuman,
bercakap dengannya dan namakan objek yang anda pegang atau biasa dimain
olehnya. Membaca bersama juga membantu anak mempelajari kepentingan
bertutur, walaupun dia masih tidak faham atau tidak dapat mengulangi
perkataan-perkataan tersebut.
2.
Apabila dia mula menunjukkan minat terhadap apa yang dilihat. Anak anda
ingin tahu tentang perkara di sekitarnya. Galakkan sifat ingin tahu
anak dan membantu merangsangkan pemikiran dan pembelajarannya dengan
menggunakan alat permainan seperti blok yang berbeza bentuk dan warna.
Tunjukkan gambar-gambar haiwan, buah-buahan, sayur-sayuran atau
kenderaan kepadanya. Anda juga boleh menceritakan kepadanya tentang
perkara yang dialami oleh anda setiap hari.
3.
Apabila dia mula bergerak. Anda boleh membantu merangsang sensasi
sentuhannya menggunakan objek atau alat permainan yang berlainan
tekstur, saiz dan bentuk. Anda juga boleh menggantung alat mainan
bergerak pada katil bayi untuk membantu memperkembangkan kemahiran motor
anak dengan menggalakkan pergerakan tangan dan kakinya semasa dia cuba
menyentuh objek tersebut. Apabila dia mencapai umur 13-17 bulan, anda
boleh memegang tangannya dan berjalan bersama-sama sambil membenarkan
dia menerokai alam sekelilingnya. Cuba memberi peluang kepadanya untuk
berjalan sendiri, tetapi anda harus memastikan persekitaran tersebut
adalah selamat untuk berbuat demikian.
Pemakanan
Selain
daripada rangsangan dan interaksi, pemakanan yang sihat adalah penting
untuk pertumbuhan dan perkembangan otak. Sesetengah nutrien seperti
phospholipids, omega 3 dan omega 6, docosahexaenoic acid (DHA) dan
arachidonic acid (AA) penting untuk perkembangan otak yang baik.
Nutrien-nutrien ini terdapat dalam soya, telur, ikan berlemak seperti
tuna dan sardin, serta walnut.
Taurine,
choline dan zat besi adalah micronutrien yang penting untuk menyambung
rangkaian antara sel-sel otak. Sumber makanan yang mengandungi nutrien
termasuk kekacang, sayuran berdaun hijau, bijirin penuh, brokoli, kuning
telur dan daging.
Nutrien
lain yang turut penting seperti antioksidan (lutein, selenium, vitamin
A, C dan E) dan zink, adalah berfungsi untuk melindungi sel-sel otak.
Anda boleh memperolehi nutrien ini daripada buah-buahan dan
sayur-sayuran, teh, prun dan juga keju.
Jangan
lupa anak anda perlu makan pelbagai jenis makanan untuk mendapatkan
semua nutrien yang diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan. Produk
susu adalah sumber makanan yang baik yang mengandungi pelbagai nutrien.
Ibu harus mendapatkan formula susu yang telah dan diuji secara saintifik
di kalangan kanak-kanak.
Profesor Dr. Norimah A. Karim ialah pakar pemakanan dan Woo Pei Jun merupakan pensyarah serta pakar psikologi perkembangan.
- Rencana ini adalah sumbangan Program Pemakanan di bawah Program Asuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia, dan disokong oleh geran pendidikan daripada Abbott Nutrition International. Untuk maklumat lanjut, sila ke laman web www.mypositiveparenting.org.
No comments:
Post a Comment